DRAMA MENANTI FEBRUARI CETUS KEKELIRUAN PENONTON
Drama episod MENANTI FEBRUARI yang ditayangkan di TV3 berjaya menambat hati penonton hingga ke episod terakhir. Namun dalam pada masa yang sama wujud kekeliruan di kalangan penonton yang mula sedar berlakunya khilaf tentang hal-hal perkahwinan di dalam Islam yang bertentangan dengan enakmen, akta dan seksyen tentang hal fasakh dalam aturcara Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Wujud pertikaman mulut antara penonton di media-media sosial yang akhirnya keadaan lebih menjadi kronik kerana perkara ini seharusnya dipertanggungjawabkan kepada pihak Media Prima untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku atau lebih tepat lagi memohon maaf. Namun tiada apa-apa bicara secara rasmi daripada Sri Pentas yang akhirnya isu hal-hal agama Islam dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Bagi yang berpengetahuan tetap meletakkan hal ini sebagai satu kesalahan yang wajib diperbetulkan semula.
Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, Seksyen 806, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) memperuntukkan:
Apabila seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama empat tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, maka beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.
Peruntukkan ini diperkukuhkan dengan Seksyen 53 (1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang menyebut bahawa:
'Jika suami mana-mana perempuan yang telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, di anggap mengikut hukum syaraq sebagai telah mati, maka mahkamah boleh, di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian suami itu dan mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 52.'
Apabila dibincangkan, pendapat para ulama' di atas, pendapat yang terpilih dala isu tempoh mafqud adalah ianya bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim. Ini selari dengan pandangan masyhur Syafi'iyyag dalam isu ini. Di samping itu juga, hendaklah meraikan akta yang ditetapkan di Malaysia melalui mahkamah syariah. Ini bermakna, jika penentuan hakim sehingga mengambil masa 4 tahun dan lebih, maka si isteri perlu menunggu dan dibenarkan berkahwin lain selepas 'iddah.
Jika selepas 6 bulan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat 'iddah.
Bukan sesuatu yang mudah jika menulis cerita yang berkaitan isu agama, aqidah, peradaban yang ada hubung kaitnya dengan Undang-Undang Islam di negara ini. Setiap pihak perlu peka dalam mengutarakan isu ini baik di media kaca tv, media sosial mahupun di media cetak.
Tiada apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak Media Prima berhubung isu ini walaupun jumlah rating penonton drama ini begitu rama, namun tanggungjawab sebagai sebuah penyiar kepada umum juga tidak boleh dipandang mudah. Pihak Media Prima khususnya pihak TV3 harus tampil secara rasmi memohon maaf di atas kekhilafan yang berlaku. Ini isu agama yang tidak boleh dipandang mudah oleh semua pihak kerana ia berkaitan dengan aqidah, peradaban serta aturcara kehidupan serta kekeluargaan Islam yang sudah digariskan melalui al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Setiap penulis perlu memiliki tanggungjawab kepada masyarakat dan bukan menulis syok-syok sendiri tanpa memikirkan nukilan itu dipersoalkan di akhirat kelak.
Wallahu 'alam.
Comments
Post a Comment