KENAPA LETAK NAMA ENGKU SERI KELANTAN?
Ramai yang bertanya saya kenapa letak nama ENGKU SERI KELANTAN sebagai nama pena saya dalam bidang penulisan skrip drama TV dan juga penulisan cerpen. Bukan anda sahaja, malah rakan saya seperti Aidit Alfian pernah memberitahu saya nama KHAIROL yang pernah saya gunakan sewaktu saya di dalam industri muzik dahulu begitu kuat dan dikenali oleh rakan-rakan industri.
Saya pergi dahulu pada penjelasan tentang nama Engku Seri Kelantan. ENGKU di awalan adalah nama keluarga saya yang digunakan sejak daripada zaman dahulu lagi. Saya berdarah raja yang berasal daripada keturunan kerabat DiRaja Kesultanan Kelantan. Tiada sangkut paut dengan lain-lain keturunan baik daripada Raja Jembal mahupun keturunan lain. Kerana dahulu saya pernah bertanya dengan arwah nenda saya dan beliau menjawab;
"Kita daripada keturunan Almarhum Sultan Yahya Petra. Kita berdarah raja dan nama yang diberikan itu bukan di ambil untuk suka-suka. Di peha Tok Ku ada tanda keturunan kita dan tak payah pergi jauh berfikir. Tanah Lorong Raja Patani ini adalah tanah bagi golongan diraja sewaktu zaman dulu-dulu,"
Almarhum nenda ada iras-iras Almarhum Sultan Yahya Petra dan beliau sejak dulu memang tidak suka bergaul dengan pihak istana biarpun ayahanda saya sering masuk ke istana Kota Lama bersama almarhum Tengku Badrul Alam bertemu dengan Sultan Ismail Petra yang pada waktu itu masih kanak-kanak. Baginda memang nakal sama seperti ayahanda saya serta sepupunya.
Jadi saya sudah jelaskan tentang keturunan saya secara amnya. Bagaimana pula timbul perkataan SERI pula? Seri itu saya ambil daripada nama almarhum nenda sepupu saya iaitu Y.M Tengku Seri Alam bin Tengku Zainal Abidin yang tinggal berjiran dengan almarhum nenda saya di Kota Bharu, Kelantan. Almarhum Tengku Seri Alam seorang yang lurus, jujur, pendiam, humble dan mudah didekati biarpun beliau adalah nenda saudara kepada Sultan Ismail Petra. Dan daripada situlah saya ambil nama SERI itu sendiri.
KELANTAN itu sudah pastilah tanah kelahiran kaum kerabat saya biarpun saya dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur namun saya tetap menyatakan saya adalah anak KELANTAN. Saya bangga jadi anak Kelantan yang mampu merantau sejauh ini dan berada di tahap ini. Loghat serta dailek Kelantan saya tidak pernah luntur di bibir saya.
Jadi saya sudah jelaskan apa yang mungkin buat anda semua tertanya-tanya. Insha ALLAH, sebarang kemusykilan akan saya jawab sebaik mungkin.
Comments
Post a Comment