PERISTIWA SERAM DI JALAN KUALA KRAI-GUA MUSANG


Jalan Kuala Krai - Gua Musang adalah laluan 'favourite' saya apabila pulang ke kampung halaman saya yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu. Sewaktu saya menetap di Kuala Lumpur di antara tahun 1993 - 2015 sememangnya saya gemar membuat perjalanan pulang ke Kelantan pada waktu disebelah siangnya. Bermakna saya keluar seawal pagi dari kediaman saya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur membelah banjaran Titiwangsa menuju ke kampung halaman tercinta.

Kembali semula pada kisah seram yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang hantu pontianak yang mengganggu saya serta keluarga sewaktu pulang ke Kuala Lumpur selepas cuti tahunan saya tamat. Entah bagaimana saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur pada jam 11:30 malam dari bandar Kota Bahru mengambil laluan Kota Bharu - Kuala Krai dan seterusnya menuju ke Gua Musang. Sewaktu itu saya memandu kereta Proton Waja dan keadaan waktu sekitar itu masih terang benderang tanpa ada gangguan cuaca baik kabus mahupun hujan.

Apabila melepasi kawasan Guchil, Kuala Krai keadaan mula berubah dan menjadi sunyi kerana masing-masing sudah melelapkan mata kecuali saya yang masih tahan dengan keadaan itu untuk terus memandu. Cuak juga rasanya kerana jalanraya pada waktu sekitar jam 1 pagi sudah mulai lengang. Namun cuaca masih berada di dalam keadaan baik. Mulalah tangan saya membuka ayat-ayat suci al-Quran sebagai teman sewaktu memandu kerana tidak mahu mengganggu anak dan isteri apabila mereka nyenyak tidur.

Timbul juga rasa menyesal saya kerana memilih waktu itu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Macamlah tak sabar untuk menunggu pagi besok untuk bergerak pulang. Namun sifir saya mudah sahaja. Kalau kita berlepas waktu seperti itu bermakna malam sudah menghampiri siang. Tetapi sifir dan formula saya itu meleset kerana bulu roma saya semakin tegak berdiri apabila kereta yang saya pandu telah memasuki kawasan Felda Paloh menuju ke Felda Chiku. Confuse mana satu yang dahulu.


Apabila melalui kawasan Paloh atau Chiku (saya kurang pasti). Keadaan jalannya begitu lurus turun naik bukit dan suasana berubah. Kabus tebal menjelma tiba-tiba menutup penglihatan saya sehingga terpaksa memperlahankan kereta saya. Yang peliknya sewaktu di Pahi, Manik Urai dan jalan sebelum jalan itu keadaannya amat-amat baik. Tiada kabus dan jalanraya nampak jelas.
 
Terkejut saya apabila menoleh ke cermin pandang belakang tiba-tiba saya ternampak kaki terjuntai di bonet belakang kereta dalam keadaan melayang-layang.
 
"Ehh, bila masa pulak ada kaki orang terhoyong hayang atas bonet belakang ni," hati sudah tidak karuan lagi.
 
Saya menoleh sekali lagi dan kali ini kaki yang terhoyong hayang itu muncul di sebelah kiri bonet belakang kereta yang saya nampak jelas. Mulut saya mula terkumat-kamit sehingga bacaan ayat kursi pun tunggang langgang. Mungkin kerana ketakutan yang amat sangat. Namun saya tidak cemas dan sentiasa memperlahankan kereta memandangkan kabus tebal di hadapan saya. Tidak sampai hati mahu mengejutkan yang lain daripada tidur.
 
Kali ini pontianak tersebut berdiri di atas jalan dan kedudukkannya di tengah-tengah jalanraya. Matanya merah memandang tajam ke arah saya yang memerhatikannya di balik cermin sisi sebelah kanan. Saya tidak cemas sehinggalah pontianak itu melambai tangannya dan berlalu pergi tanpa saya ketahui ke mana hala tujunya. Dengan kuasa ALLAH SWT juga berkat kesabaran dan tidak takut dengan syaitan akhirnya di hadapan saya beberapa lembu duduk di tengah-tengah jalanraya.
 
Bayangkanlah kalau saya cemas tadi dan tiba-tiba menekan pedal minyak secara total. Confirm kereta saya akan menemui kecelakaan. Syukur Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku dan saya mengambil keputusan untuk berhenti di kawasan terang untuk menyimbah air yang dibaca surah Kursi ke atas bumbung kereta. Kata orang, 'Pontianak suka mengikut duduk bertenggek di atas bumbung,"
 
Jadi pesanan saya, selalulah ingat ALLAH dan kalau boleh gunakan waktu siang sebagai prioriti utama untuk pulang ke Kelantan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini khususnya pada waktu malam. Wallahu 'alam

 

Comments

Popular posts from this blog

Cerita: MENANTU MAK SENAH (18 SX)

KENAPA LETAK NAMA ENGKU SERI KELANTAN?