ANDA INGIN MENGENALI SAYA LEBIH DEKAT KAN?



Nama penuh saya ialah Y.M ENGKU KHAIROLIZAM BIN ENGKU AZMAN atau lebih senang dipanggil dengan nama Engku, Abe Ku, Pok Ku dan lain-lain panggilan yang sesuai. Namun dalam kalangan kaum keluarga saya, panggilan nama Khairol itu sudah menjadi sebuah nama yang indah untuk saya. Begitu juga sewaktu saya di dalam industri muzik tanahair, ramai rakan-rakan industri lebih selesa memanggil saya dengan nama Khairol sahaja.
Bonda saya bernama NORAINI BINI SALLEH dan bonda berasal dari Batang Kali, Hulu Selangor. Kata bonda saya, beliau berasal daripada keturunan Bugis. Keturunan Bugis boleh tahan panas barannya. Tetapi bonda saya seorang yang baik hati, ringan tulang dan peramah. Kini beliau menetap di Kuala Kubu Baharu, Selangor Darul Ehsan bersama adik beradik bonda yang lain.

Ayahanda dan bonda sudah lama berpisah iaitu sejak saya masih kecil lagi. Ayahanda saya bernama Y.M ENGKU AZMAN BIN TUAN ISMAIL adalah seorang pesara KTM Berhad yang mengakhiri tugas beliau di stesen KTM Tumpat. Ayahanda saya berasal dari  Jalan Sultan Ibrahim, Kota, Bharu, Kelantan. Berdarah raja dan bila saya tanya tentang keturunan saya daripada kesultanan mana. Ayahanda menjawab, darah yang mengalir dalam keluarga adalah daripada keturunan Kesultanan Kelantan.

Saya memulakan pengajian di peringkat pra sekolah di TADIKA ST. MARTIN (yang pada waktu ini adalah tapak Kompleks Sukan Perdana) dan juga Tadika Kemas Kubur Kuda, Kampung Sireh, Kota Bharu. Pada waktu itu saya tinggal dan dibesarkan oleh almarhum nenda saya dengan penuh kasih sayang biarpun almarhum nenda sibuk dengan tugasnya sebagai Ketua Kerani di pejabat tanah dan jajahan Kota Bharu.

Gambar ini sekadar hiasan yang saya ambil daripada laman Google. Ini adalah sekolah rendah pertama saya iaitu SEKOLAH KEBANGSAAN KAMPUNG SIREH yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Di sekolah ini banyak kenangan pahit manis saya bersama guru-guru hebat yang berdedikasi seperti Cikgu Asma (guru bahasa Inggeris), Cikgu Sabariah serta Cikgu Kalsum (guru matematik), Cikgu Nordin (guru disiplin), Cikgu Aminah (guru Bahasa Malaysia), Cikgu Salleh (guru Sejarah yang pernah menampar saya. Aduhh!!) dan juga Almarhum Cikgu Nik Mat.

Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan yang terletak berhampiran Gelanggang Seni di Kota Bharu merupakan 'RUMAH KEDUA' bagi saya. Selesai rutin saya di sekolah dan selepas Zuhur pastinya saya menghabiskan masa setiap hari di dalam bangunan Perpustakaan Awam Kelantan. Di sini jugalah saya mengenali penyanyi Nora yang waktu itu berkawan rapat dengan kakak angkat saya yang kini bergelar Dr. Nik Azrita binti Dato' Nik Ariffin Said. Dah lama sangat saya tidak bertemu beliau dan Nora pernah memberitahu saya Dr. Nik Azrita bertugas sebagai pengarah di Hospital Kuala Krai pada masa kini.

Selepas tamat pengajian saya diperingkat sekolah rendah, saya berpindah ke Batang Kali, Selangor. Keinginan saya untuk merasai kasih sayang tinggal bersama-sama bonda saya pada waktu itu membawa saya ke Batang Kali. Waktu itu Batang Kali diliputi hutan getah. Setiap pagi  saya boleh melihat kaum Cina dan India keluar menoreh getah dengan menaiki basikal. Pada waktu itu saya tinggal di Taman Seri bersama kaum keluarga sebelah bonda.
 
Saya menyambung pengajian di peringkat menengah di SEKOLAH MENENGAH SYED MASHOR, Batang Kali, Selangor. Bidang yang diberikan oleh pihak sekolah kepada saya waktu itu adalah bidang pertanian. Waktu itu saya suka sangat tanam kacang bendir dan bayam sebagaimana silibus yang diberikan.

Sesuatu pengalaman yang menarik di sini ialah tentang cerita komunis yang akan saya ceritakan di bab akan datang. 

Selepas tamat pengajian di tingkatan satu di Sekolah Menengah Syed Mashor saya mengambil keputusan untuk kembali semula ke negeri Kelantan Tanah Sekebun Bunga. Saya kembali menetap bersama ayahanda saya di Kuala Krai, Kelantan. Waktu itu ayahanda saya bertugas di stesen KTM Krai. Saya dibesarkan sejak kecil lagi dengan cara kehidupan, makanan serta persekitaran di Kelantan. Keserasian saya untuk tinggal lebih lama di Batang Kali tiada dan saya memilih untuk terus bersama ayahanda serta almarhum nenda.


Di Kuala Krai, saya meneruskan pengajian di tingkatan tiga di dalam aliran Seni Perusahaan biarpun alirannya terlalu jauh berbeza dengan apa yang saya pelajari sebelum ini. SEKOLAH MENENGAH SULTAN YAHYA PETRA menjadi sekolah yang banyak memberikan saya tentang cabaran dan saingan dalam menempuh hari-hari akhir di dalam peperiksaan SRP dan SPM.

Saya menamatkan pengajian di peringkat SRP dengan keputusan pangkat satu dan SPM saya hanya memperolehi pangkat dua. Saya tidak berkeinginan untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi bagi memberikan peluang serta ruang adik-beradik saya yang masih kecil meneruskan pengajian mereka. Saya tidak mahu melihat ayahanda saya dibebani oleh masalah kewangan bilamana tawaran melanjutkan pengajian di INSTITUT TEKNOLOGI MARA, SHAH ALAM dalam jurusan Seni Reka Grafik ditolak oleh saya sendiri apabila ayah saya berkata begini (dalam dailek Kelantan);

"Cukup-cukuplah mengaji Khairol. Ayah tak mampu untuk menanggung kos pengajian mu di ITM dalam keadaan ayah tengah susah bekerja di Pelabuhan Klang. Berilah peluang pada adik-adik mu pulak belajar. Takkan mu sore jah nak berjaya. Adik-adik mu kecik-kecik lagi tu. Carilah kerja kat Pelabuhan Klang ni belana,"
Saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja di Pelabuhan Klang sebagaimana ayahanda saya serta bonda tiri dan adinda-adinda saya yang menetap di sana selepas ayahanda ditukarkan ke Pelabuhan Klang apabila jawatan beliau di Kuala Krai tidak diwujudkan lagi. Saya melangkah kaki dengan lesu tetapi bersemangat untuk membuktikan sesuatu di suatu hari nanti. Saya menyambung kembali apa yang telah saya lakukan di Johor Bahru sewaktu saya menunggu keputusan peperiksaan SPM. Semua ini akan saya ceritakan pada bab yang lain. Ramai rakan-rakan saya di Johor Bahru terkejut dengan keputusan saya untuk bekerja kilang bersama-sama mereka biarpun keputusan peperiksaan SPM saya cemerlang. Malah ditawarkan ke ITM Shah Alam. Percayalah pada rezeki! Percayalah pada keyakinan diri apa yang kita lakukan. ALLAH SWT itu Maha Penyayang dan Maha Melihat.

Banyak kilang industri yang saya sertai
daripada kilang kecil sehinggalah kilang besar seperti kilang TWP yang terletak di kawasan Tampoi, Johor. Saya bekerja sebagai operator mesin dan di sinilah saya mulai mengenali beberapa buah band yang sering menjengah di beberapa studio di sekitar Tampoi terutamanya studio Jojos yang terletak di hadapan pasar borong Tampoi. Mungkin ramai yang mengetahui kawasan Tampoi serta Bandar Baru Uda adalah kawasan yang sibuk dengan orang-orang kita. Itu dahulu!
Percaya atau tidak? Saya pernah bekerja sebagai seorang konduktor bas di Johor Bahru pada tahun 1992 di syarikat South Johore. Pengalaman bekerja selama dua minggu sebagai konduktor bas benar-benar mencabar jiwa saya apabila membuat tugas perjalanan Johor Bahru ke Ayer Hitam. Basah kuyup baju saya kerana penumpangnya terlalu ramai. Hanya dua minggu sahaja saya bergelar konduktor bas.

Selepas itu saya menyertai Hitachi Electronic yang kilangnya terletak di kawasan perindustrian Senai sebagai Pembantu Juruteknik. Seronok kerja kilang waktu itu kerana gaji dicampur dengan kerja lebih masa saya mampu meraih empat ribu ringgit sebulan. Besar nilainya waktu itu!
  Atas nasihat almarhum nenda saya yang mahukan saya mencari pekerjaan tetap dan tidak terus menerus bekerja di kilang akhirnya saya berjaya melepasi temuduga di pejabat Pendaftar UTM, Skudai sebagai Kerani Tadbir. Namun statusnya hanyalah kontrak bukan berjawatan tetap. Di sinilah saya berdepan dengan rakan-rakan saya yang pernah satu sekolah dan mereka berjaya hingga ke menara gading.
Akhirnya pada tahun 1993, saya melepasi temuduga terbuka sebagai seorang askar laskar dalam pasukan TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA dan berada dalam ketukangan muzik atau pancaragam. Sukar untuk saya gambarkan saat menempuh latihan selama enam bulan di Institut Tentera Udara di Ipoh yang akan saya ceritakan di bab yang lain akan kisah-kisah sebagai seorang rekrut atau dikenali sebagai perajurit muda.

Saya melalui proses yang sama dengan lain-lain anggota tentera yang berkhidmat sebagai askar laskar lain-lain pangkat. Cuma ofis saya kekal sejak saya masuk tentera sehinggalah saya pencen hanya di Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang terletak di Sungai Besi. Bermula sebagai pemuzik Bb Trombone sehinggalah sebagai seorang Ketua Seksyen Instrument, Jurulatih Muzik dan akhir sekali sebagai Kerani Tadbir Muzik. 
 
Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan TUDM terutama kepada mantan Panglima Tentera Udara iaitu YBhg Jeneral Tan Sri Suleiman bin Mahmud dan juga Panglima Tentera Udara kini iaitu YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Seri Roslan bin Saad TUDM yang banyak menyokong kerjaya saya di dalam pasukan muzik TUDM. Mereka berdua telah meletakkan saya sebagai pelopor kepada kecemerlangan muzik TUDM bersama Mejar Rizal TUDM yang kini bertugas sebagai Pegawai Staf 2 Muzik di Markas ATM. 
 
Di dalam perkhidmatan TUDM juga, saya mengikuti banyak kursus kemahiran muzik, pengurusan, audio-video digital dan pernah mengikuti pelbagai kursus di Universiti Pendidikan Sultan Idris serta UITM Shah Alam yang meletakkan saya sebagai pegawai TUDM yang berkemahiran tinggi. Semua ini adalah kepercayaan daripada pegawai atasan saya termasuk juga daripada YBhg Brigadier Jeneral Datuk Abdul Manaf TUDM dan juga YBhg Kolonel Mat TUDM.
Tentera Udara DiRaja Malaysia banyak memberikan saya peluang mengikuti pelbagai kursus dan bengkel profesional yang dilaksanakan. Yang paling saya tidak boleh lupakan ialah Kursus Asas Fotografi dan Kursus Lanjutan Fotografi yang dikendalikan oleh jurugambar profesional iaitu Cikgu Suhaimi Salleh. Bidang seni ini luas dan saya cuba mendaki daripada bawah daripada tak tahu jadi tahu.
Mereka yang mengikuti kursus diperingkat lanjutan ada yang telah mahir mengendalikan kamera. Nite Photography menjadi kegemaran saya kerana di sini dapat melihat sejauh mana kecekapan kita mengawal shutter speed dan juga permainan lampu jika perlu. Atas kemahiran ini juga saya mula meminati seni fotografi dan juga videografi. Terima kasih TUDM!
Tidak cukup dengan kemahiran yang diperolehi di TUDM, saya mencari lagi ilmu dalam dunia kamera dan kali ini bersama Pusat Giat Mara Kuala Lumpur di bawah kendalian guru profesional bersama pelajar-pelajar 'OTAI' yang sudah mempunyai latar dalam bidang fotografi. Pelbagai peringkat dan teknikal saya pelajari di sini.
Mereka adalah orang-orang yang saya ingati sampai ke hari ini kerana komitmen dan kolabrasi terbaik yang mereka berikan pada saya sepanjang kursus yang berjalan setiap hujung minggu di Pusat Giat Mara Kuala Lumpur, Jalan Jelatek, K.Lumpur.
Tidak terhenti di situ sahaja. Saya terus mencari nama-nama besar di dalam bidang fotografi dan akhirnya bertemu dengan AMRI GINANG seorang jurugambar profesional terkenal di Malaysia. Abang Amri banyak mengajar saya tentang teknik suntingan gambar dan bagaimana mahu mengambil gambar dengan baik. Beliau adalah di antara sifu-sifu saya di dalam dunia kamera.
Terlalu banyak kursus yang dilaksanakan di peringkat UPSI dan UITM yang saya laksanakan dan saya sertai bersama. 'Air tangan' saya bersama pegawai-pegawai atasan TUDM dan pihak Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI serta Fakulti Muzik UITM Shah Alam yang menyokong saya meletakkan saya memiliki segala kemahiran audio, muzik, suntingan video, rakaman muzik dan pelbagai lagi. Malah anak-anak buah saya berjaya meneruskan kecemerlangan di dalam TUDM.
Encik AZAM DUNGUN adalah sahabat rapat saya yang banyak membantu dalam usaha memartabatkan kualiti muzik TUDM untuk anggota-anggotanya. Beliau seorang pensyarah teknologi muzik UPSI banyak membantu saya bersama dekan fakulti, tenaga kerja UPSI dan juga yang melibatkan Fakulti Muzik UITM Shah Alam di bawah PROF.MADYA RAMONA TAHIR selaku dekan fakulti. Begitu juga dengan PROF. MADYA ZAHRUL selaku dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.
Selain Azam Dungun, orang yang saya kenali di awal pembabitan saya dalam bidang seni khususnya dalam industri muzik ialah abang JOHAN AZIZ, SHAH SLAM dan HARUN JESNITA yang pertama kali saya temui mereka sewaktu saya masih bekerja di Johor Bahru di era tahun 1992. Kemudiannya apabila saya berhijrah ke Kuala Lumpur kerana berkhidmat di dalam TUDM, CIK MOKHTAZA selaku seorang eksekutif kanan di BMG Music Publishing pada waktu itu telah menawarkan ruang untuk saya bernaung di bawah syarikat terbabit. Di BMG Music karier saya berkembang khusus dalam kerja-kerja muzik serta rakaman dan penciptaan lagu.
Saya tidak pernah memadam gambar-gambar saya bersama arwah Abang Dee atau juga dikenali dengan nama ADNAN ABU HASSAN. Beliau orang yang telah banyak memberikan saya ilmu dan tunjuk ajar tentang pembinaan vokal serta teknik rakaman yang betul di studio beliau di Sungai Ramal. Beliau adalah abang saya yang terbaik dunia dan akhirat. Sifat dan kebaikannya hanya ALLAH SWT sahaja yang Maha Mengetahui. AL-FATIHAH buat abang Dee. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Ameen Ya ALLAH.
TUDM juga memberikan saya peluang untuk melanjutkan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan atau dalam bahasa orang putehnya ialah BBA di UNITAR International University di Kelana Jaya.  Saya tidak pernah menyalahkan ayahanda saya sejak awal-awal lagi kerana saya pasti segala yang kita usahakan pasti akan menemui kejayaannya jua.


Terima kasih kepada abang ROM pemilik dan pengasas Majalah ROTTW yang membawa saya ke dalam bidang penulisan sebagai penulis komentar industri muzik. Kerja saya mengkritik!

Bukan mudah untuk menjadi penulis yang baik biarpun waktu itu bayaran saya tidak setinggi mana pun.
Apabila industri muzik seluruh dunia mengalami masalah di era tahun 2000. Saya memilih untuk terjun ke bidang penulisan dan ROTTW adalah pilihan saya dan selepas itu KAK ROSNAH UTUSAN KARYA menawarkan saya untuk menjadi penulis cerpen di semua majalah UTUSAN KARYA pada waktu itu terutama di Majalah Harmoni.

Sebenarnya saya harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada abang Azam Dungun yang meminta saya memilih jalan yang terbaik sebelum bersara. Saya masih ingat lagi dialognya;

"Gu, demo kena fikir dan buat sesuatu kerja yang betul-betul sebelum dua tahun demo nak pencen. Demo tak buleh buat kerja main-main. Kena pilih jalan yang terbaik gu,"

Dan bermula daripada detik itu saya meninggalkan dunia fotografi dan memilih untuk masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka atas sokongan serta ruang yang diberikan oleh PUAN ZAHANI CHE ISMAIL seorang pegawai kanan di DBP untuk saya melebarkan sayap di dalam bidang penulisan. Akhirnya cerpen saya banyak menembusi di pelbagai majalah terbitan DBP.
KAMAL ISHAK dan ZAKARIA ARIFFIN adalah dua sifu saya yang membawa saya mengenali erti sebuah skrip dengan pelaksanaan yang di anjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang pada waktu itu membuka lembaran baru pada diri saya sebagai seorang penulis skrip drama TV.
Terima kasih kepada ayahanda, bonda, adinda dan anakanda-anakanda saya yang banyak membantu serta memahami perjalanan dan liku-liku kehidupan saya sebagai anak seni yang terlalu banyak pahit daripada manisnya.

Tidak lupa juga kepada Muzie @Muzriffah yang selama ini mengetahui, memahami serta membantu saya dalam kesusahan diperingkat awal pembabitan saya di dalam bidang penulisan skrip. Namun kini beliau banyak terlibat dengan tugasan rutin kerjanya seperti biasa dan sudah lama saya tidak bertemu dengannya.


Comments

Popular posts from this blog

Cerita: MENANTU MAK SENAH (18 SX)

PERISTIWA SERAM DI JALAN KUALA KRAI-GUA MUSANG

KENAPA LETAK NAMA ENGKU SERI KELANTAN?