CARILAH AL-QURAN DAN SOLAT JIKA JIWA KESEMPITAN..
Terlalu lama saya tidak membelek buku-buku karya almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Orang yang membetulkan kehidupan saya daripada hanyut dengan dunia di awal tahun 1992 sewaktu almarhum datang ke daerah Kuala Krai, Kelantan.
Kesinambungan itulah membawa saya kepada almarhum pada bibit-bibit pertemuan pengajian tidak secara formal bersama beliau yang saya rindui. Almarhum pernah berkata kepada saya; "Buat kerja dengan iman. Panduan itu pada al-Quran dan hadis. Jangan bawa orang ke lembah maksiat dengan penulisan kita."
Dipermudahkan untuk saya hadir di waktu pengebumian almarhum di Pulau Melaka di waktu saya keputusan duit. Tetapi ALLAH SWT itu Maha Kaya. Dialah yang mempermudahkan perjalanan saya menaiki pesawat hingga dapat bertemu al-marhum di muka liang lahad. Besarnya kurniaan ALLAH SWT kepada saya.
Hari-hari menulis kadang-kadang saya khilaf dalam perjalanan yang sepatutnya berada di landasan untuk mendapat keberkatan ALLAH SWT yang akan mengembalikan saya kepada kesempitan jiwa. Saya dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai rupa bentuk topeng yang hati-hati mereka berlainan jenis. Almarhum berpesan, kalau boleh elakkan daripada orang seperti ini kerana KHIANATNYA MEREKA didokongi oleh pengaruh syaitan mampu membakar amarah manusia yang sentiasa ada walaupun sekecil api pemetik api.
Mereka ini tiada tomaqninahnya dan berfikir keduniaan. Masha ALLAH. Saya sebenarnya sudah jauh daripada taman-taman syurga yang saya hadiri dahulu. Saya hilang sahabat baik saya Ustaz Azhar Idrus, saya hilang suara jerkahan Ustaz Abdullah Khairi, saya hilang teriakan pedas Ustaz Shamsul Budak Kecik, saya hilang kesedihan doa-doa kudus Ustaz Ahmad Dusuki dan saya hilang bau semerbak syurga di masjid Ar-Ridhuan tempat di mana saya sering berkhalwat dengan ALLAH.
SEBAB ITULAH ALLAH SWT menguji saya dengan wanita-wanita yang ada amarah, dendam dan juga sifat manusia yang sudah merasakan dunia ini dia punya. Ini adalah PENYAKIT DUNIA AKHIR ZAMAN yang tempiasnya ada juga di dalam keluarga saya.
Saya kena kembali kepada fitrah yang dituntut ALLAH. Jauh benar saya menyimpang kerana mahu nikmat dunia daripada akhirat. Almarhum nenda saya marah benar jika saya memilih bidang seni sebagai 'cari makan' kerana keberkatannya diragui. Nauzubillah.
Berkawan dengan al-Quran, kitab-kitab hadis dan beberapa solat yang dianjurkan Rasulullah SAW adalah SAHABAT YANG TERBAIK. Saya akan kembali kepada fadhu kifayah dan nawaitu asal saya dalam bidang penulisan ini. Saya takut saya terjerumus dalam KHIANAT MANUSIA untuk seterusnya. Hati manusia AKHIR ZAMAN memang itulah lumrahnya baik lelaki mahupun perempuan. Bercakap tidak ada adab, menghalalkan perbuatan yang salah dan menegakkan benang yang basah. Saya tidak mahu terjerumus di dalam permainan duniawi ini. Nauzubillah.
Saya sebagai hamba ALLAH yang kudus dan kerdil sentiasa mengingati pesanan ini buat selama-lamanya. BERBUAT BAIK, BALASANNYA BAIK, BERBUAT JAHAT BALASANNYA BURUK. Saya lebih takutkan balasan buruk di akhirat daripada balasan buruk di dunia. Saya TIDAK GENTAR dengan hukuman manusia kerana ALLAH SWT itu sentiasa ada di dalam hati ini. Insha ALLAH. Semoga dipermudahkan hidup ini sebelum dijemput MATI.
Comments
Post a Comment