NASIB PEKERJA KILANG WARGA TEMPATAN TIDAK TERBELA


Kenyataan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan seketika dahulu berasas dan terlihat keinginan kerajaan negeri tersebut mengekang kemasukkan beramai-ramai pekerja asing ke negeri terbabit. Tetapi dalam sedar tak sedar kawasan perindustrian di sekitar Nilai dipenuhi warga asing yang lebih ramai daripada penduduk tempatan. Bercakap tidak serupa bikin barangkali. Namun rakyat lebih mengetahui dengan pelbagai masalah yang dihadapi sebelum ini di kawasan terbabit seketika dahulu.


Setiap masa belia tempatan mencari peluang pekerjaan di seluruh negara khususnya dalam sektor perindustrian kerana sektor ini menawarkan pelbagai insentif yang menarik terutamanya gaji dan sebagainya. Namun ada sesuatu yang tidak baik berlaku dalam sektor ini khususnya kepada pemain industri ini daripada kalangan jutawan mahupun usahawan tempatan.

Saya menyelusuri sendiri dalam sektor ini untuk mencari kenyataan dan realiti yang sebenar-benarnya dihadapi oleh warga tempatan khususnya belia serta lepasan sekolah menengah mahupun kolej awam dan swasta. Tempat pertama yang saya tempuhi ialah sebuah kilang industri elektronik yang terbesar di Johor. Berbekalkan sijil dan usia yang meningkat, saya hanya diberikan jawatan sebagai pengawal keselamatan. Namun gaji yang ditawarkan masih dalam lingkungan paras kemiskinan tidak melebihi RM1300 sebulan (itu kerja 12 jam sehari).

 
Di kilang elektronik milik pengusaha warganegara Jepun ini sememangnya menawarkan gaji yang lumayan dan pelbagai insentif lain terutamanya kemudahan perubatan, pelbagai elaun dan juga kerja lebih masa. Malah tawaran VSS yang diberikan kepada pekerja lama juga begitu tinggi. Saya juga pernah berbual dengan pengarah urusan kilang terbabit yang amat mesra dan rasa keterujaan beliau bila mengetahui saya adalah penulis bebas dan juga bekas pegawai kerajaan yang telah bersara. Secara jujurnya saya memuji pengurusan kilang terbabit.

Namun apa yang saya musykil ialah apa bezanya kilang Jepun dengan kilang yang dimiliki oleh rakyat tempatan terutamanya bangsa Cina? Ada beza ke? Premium dan kos kepada pemilik warga asing lebih tinggi daripada pengusaha tempatan.

Apabila saya berhenti kerja di kilang Jepun, saya berpindah ke kilang elektronik tempatan dan juga kilang perabut yang berada di dalam kawasan yang sama. Memang benar apa yang diperkatakan oleh penduduk setempat. Malah mungkin rakyat Malaysia yang bekerja di kilang yang dimiliki oleh warga tempatan yang berbangsa Cina lebih dahsyat permainan mereka terhadap warga tempatan.

  
Banting JAWATAN KOSONG meriah terpampang di pagar-pagar kilang yang dimiliki oleh jutawan rakyat tempatan berbangsa Cina khususnya pada jawatan OPERATOR PENGELUARAN. Namun bilangan yang ditawarkan oleh mereka terhad dan ini memberikan ruang kepada pemilik kilang terbabit memberitahu jabatan kerajaan yang berkaitan untuk memohon kemasukan pekerja asing kerana konon-kononnya rakyat setempat tidak berminat untuk memohon jawatan di kilang terbabit. Licik permainan mereka bukan.

Tawaran gaji yang diberikan kepada rakyat tempatan terlalu rendah tanpa elaun-elaun berkaitan malah di kawasan yang berisiko tidak diberikan gaji yang sepatutnya lebih tinggi daripada kadar biasa. Kupasan perbezaan gaji pekerja tempatan dengan gaji pekerja asing akan saya ceritakan kemudian.

 
Yang paling ingin saya tekankan di sini adalah kemudahan panel perubatan untuk pekerja tempatan tidak disediakan oleh pengusaha industri terbabit. Kenapa? Perbezaan amat ketara antara pengusaha kilang asing khususnya Jepun dengan pengusaha kilang tempatan yang rakus mengaut keuntungan semata-mata tanpa melihat soal kebajikan pekerja tempatan. Mengapa pengusaha kilang Jepun mampu menyediakan kemudahan panel perubatan kepada pekerja tempatan dan mengapa pengusaha kilang tempatan tidak berbuat demikian?

Pekerja kilang yang terdiri daripada warga tempatan tidak diberikan kemudahan yang sama rata dengan pekerja asing yang diberikan kemudahan panel perubatan mengikut had tertentu setiap bulan. Kenapa ini dilakukan oleh pengusaha kilang tempatan? Adakah kementerian yang bertanggungjawab tidak melihat perkara ini sebagai isu utama bagi kebajikan pekerja-pekerja industri tempatan?

Akan saya kupaskan lebih terperinci akan nasib pekerja-pekerja kilang tempatan sehingga sampai kepada pengetahuan YB Menteri di kementerian berkaitan agar lebih jujur dalam meningkatkan kualiti serta kebajikan warga tempatan yang bekerja di sektor industri. 

Saya berada di beberapa buah kilang melihat sendiri akan perjalanan pekerja-pekerja asing dan pekerja-pekerja tempatan untuk merasai sendiri apa yang diwacanakan oleh pekerja-pekerja tempatan akan hal kebajikan serta kesihatan pekerja. 

Comments

Popular posts from this blog

Cerita: MENANTU MAK SENAH (18 SX)

PERISTIWA SERAM DI JALAN KUALA KRAI-GUA MUSANG

KENAPA LETAK NAMA ENGKU SERI KELANTAN?